Pages

Display

Display
Ideal lifetime partners

Saturday, October 16, 2010

Mekanisme Kawalan Yang Mampu Menjadikan Pelajar Saya Terkawal Sepanjang P&P Berlangsung - GEORGE BIDOL@ISWANDY ABDULLAH

Ringkasan Eksekutif

Proses pengajaran dan pembelajaran(p&p) berlaku dalam bilik darjah. Kekerapan seorang guru berjumpa dan berinteraksi dalam bilik darjah dengan set pelajar-pelajar yang sama dalam seminggu boleh jadi tiga kali(minimum) atau sepuluh kali(maksimum) tidak termasuk perjumpaan setiap pagi oleh guru tingkatan dengan kelasnya . Oleh yang demikian, sorang guru harus bijak mengurus bilik darjah dan mengawal disiplin pelajar dengan berkesan kerana pengurusan bilik darjah sudah menjadi sinonim dengan disiplin atau kebolehan guru mengawal tingkah laku pelajar mereka.

Disiplin dalam bilik darjah merupakan disiplin peringkat pertama yang harus ditangani dengan berkesan oleh guru-guru di sesebuah sekolah. Sebarang kecuaian sama ada disengajakan atau tidak disengajakan( wilful negligence) atau sebarang kelemahan dalam mengurus dan mengawal disiplin dalam bilik darjah sudah pasti secara langsung atau tidak langsung akan mempengaruhi budaya p&p yang boleh menjejaskan prestasi akademik pelajar dan menjatuhkan reputasi sesebuah sekolah.

Dalam proses penyaluran dan penyampaian maklumat dan ilmu pada guru kepada pelajarnya, seorang guru perlu memperlengkapkan dirinya dengan pelbagai pendekatan dan strategi serta teknik pengajaran seperti pendekatan Pelbagai Kecerdasan(Multiple Intelligences), menguasai pelbagai kaedah dan teknik p&p seperti ; Theory Of Constraints For Education(TOCFE), yang menggunakan teknik-teknik seperti teknik awan(The Cloud), teknik sebab dan akibat(Logic Branch),dan teknik penyelesaian masalah(Problem Solving) , kaedah Experiential Activities Planner(EAP), yang menggabungkan beberapa pedagogi seperti kemahiran berfikir, Kajian Masa Depan(KMD), kaedah pembelajaran secara kontekstual, pembelajaran konstruktivisme yang menjadikan pelajar menjadi lebih ; berfikir, faham, ingat, yakin, berkemahiran sosial dan seronok dalam p&p, mahir mengaplikasikan Teknologi Maklumat dan Komunikasi(TMK) dalam p&p, membuat peneguhan dan penilaian murid. Manakala pembelajaran berkesan dikatakan telah berlaku apabila rangsangan yang dicetuskan oleh guru mendapat respons yang dihasratkan, terkawalnya para pelajar sepanjang masa p&p berlangsung, iaitu mereka sentiasa in-line dan on-task serta dibuktikan dengan pencapaian matlamat-matlamat p&p sebagai indikator keberkesanan dan kejayaan.

Justeru, untuk memastikan proses p&p berlaku dengan berkesan di bilik darjah, guru harus mewujudkan mekanisme kawalan yang mampu menjadikan pelajar terkawal sepanjang proses p&p berlangsung. Mekanisme kawalan yang berkesan akan mampu menangani kelemahan disiplin murid atau tingkah laku mereka yang terus mempengaruhi serta mencorak budaya p&p di sesebuah sekolah. Usaha untuk mewujudkan mekanisme kawalan disiplin di bilik darjah dan cara pengimplementasiannya di SMK St. Teresa, Kuching, Sarawak akan dihuraikan dalam tugasan yang menyusul.

Perbincangan saya dalam tugasan ini akan bermula dengan perkara-perkara seperti pengertian terhadap pengajaran, pembelajaran, disiplin dan pengurusan bilik darjah dan guru yang berkesan. Reputasi sesebuah sekolah sangat-sangat bergantung kepada perkara-perkara tersebut.

. Seorang guru memerlukan kemahiran di samping memiliki ilmu pengetahuan untuk menyampaikan pengajarannya. Orang yang bijak dan banyak menguasai ilmu tidak semestinya dapat menjadi seorang guru yang efektif dan berjaya. Dia mungkin seorang yang bijak, tetapi dia mungkin tidak dapat menyalur dan menyampaikan maklumat atau ilmu yang ada padanya kepada orang lain.

Sebagaimana seorang seniman, guru perlu menggunakan pergerakan badan, mimik muka, dan tekanan suara yang sesuai. Ketika di hadapan pelajar guru perlu melupakan segala masalah peribadinya. Seorang guru yang berjaya tidak membawa masalahnya ke dalam bilik darjah.

Mengikut Gagne(1974) dalam (Abd. Ghafar Md. Din,2003, hlm. 6 – 7), pembelajaran adalah perubahan pemikiran, kebolehan, dan perangai(tingkah laku) seseorang yang bukan disebabkan oleh proses tumbesaran atau pembesaran. Perubahan itu biasanya merupakan pertambahan kebolehan bagi sesuatu perbuatan atau pekerjaan yang berkaitan dengan minat, sikap, dan nilai seseorang. Pembelajaran dikatakan berlaku sekiranya rangsangan yang diberi oleh pengajar memerima gerakbalas(respons) daripada pelajarnya. Proses pembelajaran manusia memerlukan usaha dan rangsangan daripada pihak yang mengajar kepada yang belajar. Justeru, sekiranya rangsangan itu tidak mendapatkan respons yang dihasratkan daripada pelajar, ini menunjukkan bahawa proses pembelajaran tidak berlaku.

Jadi jelas bahawa dalam proses pengajaran dan pembelajaran(p&p) seorang guru perlu memperlengkapkan diri dengan maklumat dan ilmu pengetahuan, mesti berkemahiran tinggi dalam menyalur dan menyampaikan maklumat dan ilmu kepada pelajarnya. Guru harus berupaya mengenal pasti perbezaan latar belakang murid. Beliau juga perlu mempunyai kemahiran: mengurus bilik darjah dengan cekap dan berkesan; mengurus kerja projek, lawatan dan pengajaran secara kumpulan dengan berkesan; melaksanakan pembelajaran berasaskan aktiviti(activity-based learning) dan pembelajaran berasaskan pemikiran(brain-based learning); mengurus bahan pembelajaran yang diperlukan dan merancang program atau aktiviti secara sistematik(Jemaah Nazir Sekolah, 2007, hlm.2).

Di sekolah, p&p lazimnya berlaku dalam bilik darjah. Bilik darjah merujuk pada bilik-bilik di sekolah di mana sekumpulan murid atau pelajar mengikuti pelajaran atau belajar sesuatu mata pelajaran yang diajar oleh guru. Guru dan pelajarnya berinteraksi di dalam bilik tersebut. Dalam konteks yang lebih luas, bilik darjah tidak semata-mata merupakan ruang untuk proses p&p, tetapi mencakupi pelajar-pelajar dan guru yang belajar dan mengajar serta berinteraksi di dalamnya. P&P yang berkesan hanya dapat dilaksanakan oleh seorang guru yang berkesan atau efektif. Dalam hal ini seorang guru yang berkesan pula mesti mampu mengurus dan mewujudkan disiplin dalam bilik darjah .

Pengurusan bilik darjah yang berkesan melibatkan ciri-ciri seorang guru, iklim bilik darjah, dan kaitan antara pengurusan dan pengajaran. Guru hendaklah mempunyai sifat-sifat seorang pengurus yang baik; iaitu pengasih, tegas, demokratik, dan prihatin. Sebagai pengurus, beliau tidak semata-mata mengajar, tetapi juga berusaha untuk mewujudkan iklim bilik darjah yang sihat, positif, dan menggalakkan pembelajaran. Gaya kepimpinan guru memberi kesan kepada iklim dan suasana bilik darjah. Pengurusan bilik darjah yang berkesan akan memberi fokus kepada aspek pengajaran, kemajuan pelajaran, interaksi, dan penglibatan pelajar.

Dalam sebuah institusi persekolahan, disiplin memainkan peranan penting ke arah pembentukan sahsiah para pelajar. Menurut ' Dictionary Of Education ' , disiplin adalah peraturan secara langsung bagi mengawal tingkah laku murid-murid melalui hukuman dan atau ganjaran.Disiplin juga dapat didefinisikan sebagai suatu bentuk latihan bagi perkembangan mental ataupun fizikal ataupun sikap seseorang. Lindgren(1976) dalam (Abd. Ghafar Md. Din,2003, hlm. 101), menghuraikan bahawa disiplin membawa maksud hukuman dan kawalan untuk mematuhi tatatertib. Disiplin juga membawa maksud latihan yang bertujuan untuk membetul dan mengukuh perlakuan seseorang.

Selain itu, Laporan Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pendidikan(1979) menjelaskan makna disiplin itu sebagai ;

1. Kesanggupan seseorang itu bekerja ataupun membuat sesuatu dengan

cukup tertib.

2. Kesanggupan menghormati hak individu lain.

3. Kesanggupan mengamalkan tingkah laku yang baik dan tidak mengganggu kepentingan orang lain.

4. Kesanggupan menghormati antara satu dengan lain dan mempunyai semangat tolong-menolong.

5. Kesanggupan membaiki keadaan yang sedia ada menerusi usaha yang membina serta sanggup berkhidmat kepada masyarakat.

Secara umumnya, disiplin melibatkan cara seseorang itu berfikir dengan teratur supaya dapat melahirkan sifat yang rasional, mewujudkan keyakinan diri, dan ketabahan hati seseorang itu untuk mengikut peraturan-peraturan yang diterima umum. Disiplin melibatkan norma dan nilai yang berhubung kait dengan tatatertib, tatasusila, adab, akhlak, dan kesopanan. Dalam konteks yang lebih luas disiplin melibatkan latihan yang membolehkan pelajar-pelajar membuat pilihan-pilihan yang tepat atau sesuai dengan norma dan nilai yang diterima oleh masyarakat. Ini bermakna seorang guru harus pandai memandu pelajar-pelajar ke arah terus hidup dan dapat menyesuaikan diri dalam bilik darjah, sekolah atau komunitinya.Ia melibatkan pelajar-pelajar untuk membuat penyesuaian terhadap tingkah laku yang ditegah kepada tingkah laku yang boleh diterima menepati standard atau kayu ukur yang telah ditetapkan oleh Jawatankuasa Disiplin Sekolah. Tujuan disiplin adalah untuk mewujudkan tingkah laku yang baik demi kesempurnaan dan keharmonian hidup bermasyarakat.

Setiap sekolah mempunyai set masalah-masalah disiplin dan sistem disiplin yang tersendiri. Kemerosotan atau kelemahan disiplin di sekolah juga boleh berpunca daripada guru yang mengajar di dalam bilik darjah. Peranan guru di dalam bilik darjah bukan hanya mengajar dan memberi nota semata-mata. Seorang guru yang tidak mempunyai wawasan dalam menjalankan tugasnya serta tidak menggunakan kepelbagaian teknik dalam p&p akan mengakibatkan pelajar-pelajar tidak berminat belajar dan menimbulkan kelemahan disiplin yang secara langsung atau tidak langsung akan mempengaruhi budaya p&p di sekolah. Selain itu, guru-guru yang bermasalah serta lemah dalam pengurusan bilik darjah, mengikut Cangelosi(1999) dalam (Larrivee, 2005, hlm. 45) juga boleh membiasakan pelajar-pelajar untuk berkelakuan tidak baik melalui tindakan-tindakan dan polisi-polisi mereka. Mengikut beliau, berikut ialah cara-cara guru-guru membiasakan pelajar-pelajar mereka:

· Bila seorang guru menyedari suatu tingkah laku off-task tetapi tidak berusaha serta merta untuk mengarah dan memandu pelajar-pelajar supaya on-task, menyebabkan pelajar-pelajar menduga bahawa guru tersebut tidak serius tentang jangkaan/harapan supaya pelajar-pelajar sentiasa on-task .

· Bila seorang guru menyuruh pelajar-pelajar supaya berkelakuan baik tetapi tidak mengambil sebarang tindakan untuk memandu pelajar-pelajar supaya mengikut suruhannya, menyebabkan mereka menjadi terbiasa( mangli ) dan tidak akan peduli untuk mendengar.

· Bila guru berulang-ulang kali meminta pelajar-pelajar supaya on-task tetapi masih tidak dipatuhi sehingga akhirnya guru menjadi marah dan kecewa, akan membiasakan pelajar-pelajar untuk tidak mendengar sehingga guru menjadi kecewa.

Kecuaian sama ada tak sengaja atau disengajakan( wilful negligence ) atau kelemahan dalam mengurus dan mengawal disiplin dalam bilik darjah sudah pasti secara langsung atau tidak langsung akan mempengaruhi budaya p&p yang boleh menjejaskan prestasi akademik sesebuah sekolah dan boleh menjatuhkan reputasi sekolah. Reputasi ialah nama baik atau anggapan umum tentang sesebuah sekolah. Pelajar-pelajar yang menghadapi masalah disiplin menjejaskan prestasi mereka di dalam bilik darjah atau pun di luar bilk darjah. Pencapaian akademik mereka turut terjejas, mereka kurang atau tidak memberi tumpuan dalam pelajaran dan seterusnya membawa kepada kegagalan dalam peperiksaan. Kegagalan ini akan membawa kepada masalah-masalah yang lebih serius akibat kekecewaan yang boleh merangsangkan mereka untuk melakukan perkara-perkara di luar batasan lunas-lunas seorang pelajar(Abdullah Sani, 2005,hlm. 30). Jika sebahagian besar murid-murid di sesebuah sekolah gagal dalam hampir kesemua mata pelajaran dalam sesuatu peringkat peperiksaan awam akibat kelemahan dan kecuaian guru-guru mengurus dan mengawal masalah disiplin dalam bilik darjah serta pengamalan budaya p&p yang tidak berkesan, maka reputasi sekolah tersebut akan terjejas atau jatuh. Sekolah sedemikian akan dilabel sebagai Sekolah Berprestasi Rendah(SPR) .

. Sebagai rumusan, ada tiga perkara penting yang perlu diurus oleh seorang guru dengan cekap secara serentak dalam bilik darjah. Pertama, guru perlu mengurus aktiviti-aktiviti P&P. Sehubungan itu, guru harus merancang serta dapat menggambarkan dan menyatakan secara jelas objektif-objektif pembelajaran yang hendak dicapai, memilih task yang sesuai, melaksana dan mengurus aktiviti-aktiviti p&p, seterusnya menilai hasil-hasil atau kesudahan pembelajaran(learning outcomes) . Kedua, guru harus mengurus tingkah laku para pelajar agar segala tenaga mereka sentiasa terarah kepada proses pembelajaran dan masa on-task mereka dapat dioptimumkan. Ketiga, guru harus mengurus keadaan fizikal dan psiko-sosial di bilik darjah secara bijaksana demi mewujudkan iklim/suasana positif dan menyeronokkan.

Sebelum membincangkan tentang pewujudan mekanisme kawalan yang mampu menjadikan pelajar terkawal sepanjang proses p&p berlangsung terlebih dahulu saya beri sedikit paparan tentang senario sekolah tempat saya berkhidmat sekarang. Saya berkhidmat di Sekolah Menengah Kebangsaan St. Teresa, Kuching, Jalan Tun Abang Haji Openg, 93050, Kuching, Sarawak mulai Januari tahun 2007. Sekolah ini adalah sekolah harian biasa dan terdiri daripada pelajar-pelajar perempuan. Visi sekolah ialah Cemerlang dan unggul dalam semua aspek pendidikan menjelang tahun 2010 manakala Menyediakan pendidikan berkualiti dan holistik untuk menghasilkan modal insan berkaliber dan berintegriti dipilih sebagai misi sekolah. Walaupun pelajar-pelajar di sekolah ini bukan pelajar-pelajar terpilih namun sekolah mampu mencapai taraf sekolah cemerlang dengan markah 89.44% berdasarkan keputusan penarafan sekolah menggunakan Instrumen Pemastian Standard(IPS) 2008. Dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia(SPM) 2007, Gred Purata Sekolah(GPS) ialah 4.10, meletakkannya di kedudukan ke-11 keseluruhan dalam kalangan sebanyak 169 buah sekolah seluruh negeri Sarawak manakala dalam Penilaian Menengah Rendah tahun yang sama, pencapaian keseluruhan sekolah ialah ke-6 terbaik.

Memandangkan bahawa sekolah ini adalah sekolah perempuan dan berada dalam kelompok sekolah cemerlang boleh dikatakan bahawa guru-guru tidak menghadapi sebarang masalah disiplin yang serius di bilik-bilik darjah. Namun, jenis-jenis tingkahlaku atau perbuatan yang boleh dikatakan mengganggu p&p atau yang boleh menjejaskan prestasi pelajar-pelajar dalam peperiksaan masih kedapatan di kelas-kelas hujung atau belakang terutamanya kelas-kelas A6 dan A7 bagi Menengah Rendah dan aliran sastera A2 dan A3 bagi Menengah Atas. Antara masalah-masalah yang kerap kedapatan ialah seperti malas, enggan turut serta atau mengambil bahagian dalam aktiviti-aktiviti p&p, tidak memberi perhatian semasa guru mengajar, bercakap-cakap serta bising dalam kelas, tidak membuat kerja/tugasan yang disuruh, berebut-rebut meminta bantuan/tunjuk ajar guru ketika guru masih membantu pelajar lain, keluar kelas semasa pertukaran waktu(tanpa kebenaran) , tidak menyiapkan kerja rumah, tidak menyiapkan kerja/latihan menepati masa yang diberi.

Mekanisme Kawalan:

Mekanisme bermaksud cara sesuatu berfungsi, atau sistem yang bertujuan mencapai sesuatu atau sistem untuk menangani sesuatu, atau kaedah(prosedur) untuk membuat sesuatu atau cara. Mekanisme di sini merujuk pada cara bagaimana seorang guru mengurus bilik darjah dan mengawal atau menangani disiplin pelajar sepanjang p&p berlangsung.

Setiap sekolah mempunyai set masalah-masalah disiplin atau set tingkah laku gangguan dan sistem disiplin yang tersendiri. Berkaitan gangguan semasa p&p di bilik darjah, mengikut Rosenshine, dalam (Myint,Lourdusamy,Quek dan Angela,2004, hlm.20), kajian menunjukkan bahawa secara puratanya , 20% daripada masa dalam bilik darjah digunakan oleh guru-guru untuk menangani aktiviti-aktiviti bukan bersifat p&p. Jika budaya seperti ini berterusan sudah pasti ianya merugikan pelajar-pelajar terutamanya yang benar-benar mahu belajar. Maka, langkah pertama ke arah pembentukan satu sistem kawalan bilik darjah yang adil dan efisien ialah dengan mewujudkan satu set peraturan dan rutin. Peraturan menjelaskan bentuk tingkah laku yang dikehendaki/diharapkan daripada pelajar supaya bilik darjah menjadi selesa dan sesuai untuk mereka belajar dengan berkesan. Peraturan yang baik biasanya dinyatakan dalam bentuk positif , cth. hormat dan bersopan santunlah terhadap semua orang. Rutin pula merupakan prosedur yang mesti dipatuhi oleh pelajar dalam situasi/keadaan tertentu bagi menjamin keteraturan dalam bilik darjah. Salah satu mekanisme kawalan dalam bentuk program dipanggil Better behaviour, Better learning yang menggunakan kaedah seperti tersebut tadi telah dilancarkan di sekolah kami pada bulan Mac tahun ini bertujuan untuk mengurangkan gangguan sepanjang p&p berlangsung, mencegah serta mengurangkan tingkah laku/perlakuan off-task demi mengoptimumkan pencapaian matlamat p&p.

Cara program ini dilaksanakan di sekolah kami ialah dengan mewujudkan peraturan-peraturan belajar dan rutin di bilik darjah sama ada oleh guru subjek atau atau oleh guru tingkatan bersama-sama pelajar. Prinsip-prinsip asas tertentu yang perlu dipertimbangkan dalam membentuk peraturan dan rutin ialah:

· Pastikan segala peraturan dan rutin jelas dan difahami, iaitu, tiada unsur kekaburan atau sebarang kemungkinan disalahtafsir.

· Pastikan segala peraturan dan rutin munasabah dan perlu, dan konsisten dengan matlamat-matlamat pengajaran terutamanya yang berkaitan dengan pergerakan dan bercakap.

· Pastikan peraturan-peraturan itu konsisten dengan peraturan-peraturan sekolah. Guru harus biasa dan mahir dengan peraturan sekolah bagi mengelakkan sebarang percanggahan.

· Peraturan-peraturan bilik darjah harus berperanan sebagai pelengkap kepada peraturan sekolah bagi memupuk nilai-nilai tangggungjawab dalam kalangan para pelajar.

· Pastikan segala peraturan boleh dilaksanakan secara konsisten dan berkesan.

· Wujudkan empat atau lima peraturan yang mencakupi sebahagian besar bidang tingkah laku baik yang diharapkan dalam bilik darjah seperti:

1. sentiasa berada di tempat duduk sendiri serta bersedia untuk pelajaran

2. bersopan dan saling menghormati antara satu sama lain

3. membawa buku-buku dan bahan-bahan berkaitan pelajaran

4. mendengar semasa guru bercakap

5. memberi perhatian terhadap pengajaran guru

6. menyerahkan kerja tepat pada masa

7. memberi peluang kepada setiap orang untuk belajar

8. mematuhi prosedur

9. menghormati hak orang lain

Setiap guru juga perlu merancang serta mewujudkan prosedur tentang pergerakan para pelajar, cth., mesti meminta kebenaran guru bila hendak pergi ke bilik air dan dapatkan pas keluar daripada meja guru. Hanya dua orang pelajar sahaja dibenarkan keluar setiap kali dan mesti berada di kelas dalam tempoh empat minit.

Lantikkan ketua baris untuk membantu melicinkan pelaksanaan aktiviti berkaitan pelajaran seperti pengagihan dan pengutipan bahan-bahan, hasil-hasil pelajaran/hasil kerja dan peralatan. Prosedur seperti ini dapat mencegah daripada membazir masa.

Rutin yang bersifat interaktif yang kerap berlaku di bilik darjah seperti soal jawab yang digunakan untuk mengenalpasti dengan cepat sama ada para pelajar faham tentang pengajaran guru atau untuk mencungkil pendapat mereka memerlukan satu prosedur yang tertib supaya pelajar tidak berebut-rebut menjawab atau menjerit-jerit di dalam kelas. Alternatif pertama yang guru lakukan ialah mengarahkan pelajar mengangkat tangan dengan senyap, dan bercakap atau menjawab bila dipilih untuk menjawab. Kedua, sediakan 44 keping kad(bersaiz kad mainan) yang bernombor mengikut nombor pelajar dalam senarai tingkatan. Kocokkan(shuffle) kad-kad tersebut dan tarikkan kad sekeping setiap kali. Pelajar yang bernombor sama dengan nombor kad yang ditarik menjawab soalan. Jika jawapan pelajar tidak tepat atau memuaskan, terus kocokkan kad-kad tadi dan tarik sekeping kad lagi untuk menentukan giliran pelajar baru. Cara seperti ini mempunyai unsur keseronokan dan menggalakkan pelajar-pelajar untuk sentiasa siap siaga kerana sesiapa sahaja mungkin terpilih untuk menjawab sama ada yang sudah menjawab mahupun yang belum berpeluang menjawab. Cara begini juga berbeza dengan alternatif pertama kerana dapat mengelakkan pelajar-pelajar yang sama sahaja mengangkat tangan dan memberi perhatian, di sampng dapat mengelakkan unsur pilih kasih.

Kejayaan atau kegagalan peraturan dan rutin yang dibentuk oleh guru sangat-sangat bergantung pada cara pengimplementasian dan pemantauan oleh guru tadi. Guru disaran menggunakan dua minggu pada awal tahun untuk menjelas dan membincangkan secara terperinci tentang rasional dan keperluan setiap peraturan dan rutin yang hendak diimplemenkan termasuk konsekuen/akibat bila melanggarinya. Berikut, merupakan langkah-langkah yang perlu dipertimbangkan:

· segala peraturan dan rutin dinyatakan secara jelas

· rasional setiap peraturan dan rutin dijelaskan

· contoh-contoh diberi bagi menguatkan rasional

· dinyatakan bentuk konsekuen/akibat bila berlaku ketidakpatuhan

Sebagai contoh, peraturan yang menyatakan ” Sentiasa berada di tempat duduk anda dan bersedia untuk pelajaran “. Rasionalnya, peraturan ini dapat menjimatkan masa p&p dan mengoptimumkan masa on-task pelajar. Pelajar atau mana-mana pelajar yang sengaja mengambil masa yang lama untuk mematuhi peraturan tersebut diberi amaran pertama dan jika berulang diberi mata demerit sebanyak 5 markah. .

Setiap guru perlu mewujudkan hubungan baik(rapport) dengan pelajar kerana keberkesanan pelaksanaan setiap peraturan dan rutin seperti yang dihuraikan bergantung pada sejauh mana pelajar-pelajar menghormati dan ‘suka’ terhadap seorang guru. Guru yang dihormati dan disukai oleh pelajar mudah mendapat kerjasama daripada pelajar ( Good and Brophy, 1994 dalam Myint, Lourdusamy,Quek dan Angela, 2004).

Seterusnya, struktur yang jelas dan eksplisit turut diwujudkan di bilik darjah. Segala maklumat yang terperinci tentang tugasan dan tanggungjawab yang perlu dilaksanakan untuk satu-satu minggu/bulan dan untuk jangka panjang; kerja rumah, rujukan dan peringatan, ditampal di sudut-sudut yang tetap pada papan notis. Tujuan setiap pelajaran sentiasa dikaitkan dengan matlamat-matlamat jangka pendek dan jangka panjang. Panduan terperinci tentang pelaksanaan tugasan, projek termasuk mengapa ianya perlu dilaksanakan, jadual pelaksanaan, tarikh tutup dan konsekuen/akibat diterima jika gagal melaksanakan tugasan/projek tersebut.

Salah satu lagi cara yang kami gunakan bagi mengawal disiplin pelajar juga ialah dengan mengadakan Kontrak Tingkahlaku. Kontrak Tingkahlaku ialah suatu perjanjian atau persetujuan antara guru, pelajar dan ibu bapa/penjaga pelajar. Cara ini menetapkan batasan bagi sesuatu tingkah laku buruk seseorang pelajar. Jika pelajar dapat menunjukkan perubahan dan menghentikan tabiat buruk atau tingkah laku buruknya, ia diberi ganjaran dalam bentuk mata merit dan peneguhan dan didenda jika terus mempamerkan tingkah laku yang tidak diingini. Program ini memberi mesej kepada pelajar bahawa ’ Tingkah laku buruk atau tidak diterima harus dihentikan’. Pihak ibu bapa pelajar dilibatkan dalam menentukan jenis ganjaran atau dendaan/hukuman yang dikenakan. Ibu bapa juga sentiasa dimaklumkan tentang perkembangan atau prestasi tingkah laku anak mereka. Sebelum sampai ke tahap menandatangani kontrak tingkah laku, guru dikehendaki untuk memaklumkan ibu bapa tentang sebarang petanda awal masalah disiplin anak mereka . Guru harus menghubungi dan berbincang dengan ibu bapa bila perlu dan meminta bantuan dan nasihat mereka. Dengan bertindak sedemikian ibu bapa dapat melihat bahawa guru sentiasa mementing dan menghargai anak mereka dan mudah bagi ibu bapa bekerjasama untuk mencari jalan penyelesaian bagi masalah disiplin anak mereka. Sebaliknya, para ibu bapa akan merasa kecewa bila tidak diberitahu awal tentang masalah disiplin anak mereka. Guru perlu proaktif dalam hal ini.

Contoh Kontrak Tingkah laku:

Nama Pelajar :_______________________________

Tarikh : _______________________________

Kelas : _______________________________

[ Nama Pelajar ] mesti menunjukkan tingkah laku baik setiap hari.

[ ] dikehendaki mematuhi arahan guru bila disuruh

membuat sesuatu kerja/tugas . Dia mesti berbuat demikian dengan serta

merta dan dengan sikap yang baik. Jika perjanjian ini tidak ..........[ ]

akan .......................

Kami bersetuju menerima terma-terma kontrak tingkah laku seperti di atas.

_______________________

[Tandatangan Guru]

_______________________

[Tandatangan Ibu bapa]

_______________________

[Tandatangan Pelajar]

Antara cara-cara yang saya juga gunakan untuk mengawal pelajar sepanjang proses p&p berlangsung ialah dengan sentiasa datang awal ke bilik darjah dengan sikap yang positif serta keadaan bersedia dengan memastikan semua bahan pelajaran dan kaedah mengajar tersedia untuk dilaksanakan. Saya sengaja lebihkan(overplan) rancangan pelajaran dan melibatkan pelajar secara aktif dalam p&p untuk mengurangkan masa terbuang. Setiap pelajaran dirancang secara berstruktur disertai dengan teknik pemantauan yang berkesan terhadap tingkah laku pelajar yang dapat mencegah kebanyakan tingkah laku buruk.( Oakes, Lipton, 1999, hlm. 247). Bagi pelajar yang cepat menyiapkan kerja, mereka diarah untuk membuat aktiviti seterusnya yang telah dirancangkan.

Dengan sikap yang positif ,saya mencuba sedaya upaya untuk memulakan setiap hari mengajar setiap kelas dengan sikap yang betul dan sentiasa memfokuskan kejayaan dari awal tanpa memberi kesan-kesan negatif kepada pelajar saya. Sikap yang positif merupakan satu aset dalam kehidupan. Saya sentiasa memberi harapan dan jangkaan yang tinggi serta realistik kepada pelajar saya. Harapan serta jangkaan yang diberi itu akan menjadi faktor utama dalam membantu pelajar belajar dan memacu mereka mencapai sasaran mereka.

Dalam melaksanakan p&p, saya sedaya upaya menggunakan pelbagai kaedah dan teknik yang berpusatkan pelajar dengan kesedaran bahawa sindrom koma dalam bilik darjah atau classroom coma syndrome berlaku akibat ketidakserasian antara cara pengajaran guru dengan cara-cara pelajar belajar. Di samping itu, saya juga sering menggunakan unsur kecindan atau sense of humour dalam p&p mengikut kesesuaian dan keadaan bagi menghidupkan suasana dalam bilik darjah serta mengekalkan perhatian pelajar.

Setiap tingkah laku pelajar terutamanya yang bersifat mengganggu seperti pelajar yang suka membuat bising , bercakap-cakap secara berterusan dan enggan membuat kerja atau mengambil masa yang lama untuk membuat kerja yang diarah sentiasa dipantau dan diambil tindakan secara konsisten atau tekal. Saya menggunakan pendekatan eye contact dan proximity iaitu pandangan bersetentang mata dengan pelajar diikuti dengan isyarat mengangkat tangan bertujuan untuk memberitahu kepada pelajar perbuatannya atau mereka diberi perhatian dan seterusnya menghampiri(proximity) pelajar berkaitan, sambil meneruskan pengajaran . Pelajar yang dihampiri guru mempunyai kemungkinan besar untuk menjadi on-task.

Rumusan

Setiap sekolah mempunyai sistem disiplin dan cara-cara tersendiri dalam menangani masalah-masalah disiplin pelajar mereka. Mekanisme kawalan yang berkesan di sesebuah bilik darjah mungkin tidak berkesan di bilik darjah yang lain dan mekanisme kawalan yang bolehlaksana dan berkesan di sesebuah sekolah mungkin kurang berkesan di sekolah yang lain kerana faktor-faktor yang menjadi punca masalah disiplin dalam kalangan pelajar ini amat kompleks sifatnya.

Faktor-faktor penyebab kemerosotan disiplin pelajar itu boleh jadi berpunca daripada sikap individu, didikan/asuhan, pendedahan keterlaluan terhadap media terutamanya pada era siber ini yang menyebabkan pelajar mudah mendapat pengaruh yang tidak sihat melalui media seperti internet, televisyen, video, Video Compact Disc, dan lain-lain lagi. Mereka mudah terdedah dan menurut apa yang ditontoni lantaran itu cuba mempraktikkan apa yang mereka lihat. Selain itu, guru yang mengajar di bilik darjah juga turut berperanan menyumbang ke arah kemerosotan disiplin pelajar terutamanya yang ketandusan idea dalam teknik mengajar serta tidak berwawasan, menyebabkan pelajar jemu dan tidak berminat untuk belajar. Justeru, terpulang kepada sekolah tertentu dan guru-guru di sekolah tersebut yang mengenalpasti jenis-jenis tingkah laku yang sering mengganggu p&p serta mencari jalan dalam mewujudkan mekanisme kawalan disiplin pelajar yang berkesan.

Senarai Rujukan

Abd. Ghafar Md. Din. (2003). Prinsip Dan Amalan Pengajaran. Kuala Lumpur : Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd.

Abdullah Sani Yahaya. (2005). Mengurus Disiplin Pelajar. Pahang Darul Makmur : PTS Publications & Distributors Sdn. Bhd.

Barbara Larrivee . (2005). Authentic Classroom Management: Creating A learning Community And Building Reflective Practice . The United States Of America: Pearson Allyn and Bacon.

Hedley Beare , Brian J. Caldwell And Ross H. Millikan. (1989). Creating An Excellent School: Some New Management Techniques. Great Britain: Billings & Sons Ltd., worecester.

James L. Kelly, (ed.).(1982). The Successful Teacher.(1st ed.). Iowa: The Iowa State University Press.

James S. Cangelosi. (2000). Clasroom Management Strategies: Gaining And Maintaining Students Cooperation.(4th ed. ). The United States Of America: The Maple-Vail Book Manufacturing Group.

Jeannie Oakes, Martin Lipton. (1999). Teaching to change the world. The United States Of America: McGraw-Hill College.

Jemaah Nazir Sekolah, Kementerian Pelajaran Malaysia,(2007). Panduan Pengurusan Dan Pengajaran Sejarah. Putrjaya.

Myint Swe Khine, A. Lourdusamy, Quek Choon Lang, Angela F.L. Wong.(Eds.). (2004). Teaching And Classroom Management : An Asian Perspective. Singapore: Prentice Hall.

No comments:

Post a Comment